Israel diberi amaran keras

G+

Berita Dunia,AMMAN JORDAN: 19 Okt. - Raja Abdullah II bagi Jordan kelmarin memberi amaran kepada Israel akan 'akibat yang mencelakakan' jika ia bertindak melampaui 'garis merah' berhubung Baitulmakdis.
Beliau memberi amaran itu ketika berunding dengan Perdana Menteri Sepanyol, Encik Jose Luis Rodriguez Zapatero.
'Baitulmakdis adalah satu garis merah. Sebarang manipulasi dalam bandar ini akan membawa akibat buruk terhadap keselamatan dan kemantapan rantau ini,' tegas beliau, yang ditukil satu kenyataan istana.
Raja Abdullah menggesa masayarakat antarabangsa, terutamanya Kesatuan Eropah (EU) agar 'bertindak tegas terhadap sebarang langkah Israel hendak mengubah identiti bandar suci Baitulmakdis dan tempat ibadat di sana.
Raja Abdullah memberi amaran bahawa Baitulmakdis Timur yang ditawan Israel pada Perang Timur Tengah 1967 merupakan satu 'garis merah'.
'Jika ia dilanggar, itu akan membawa akibat buruk bagi keselamatan dan kemantapan rantau ini, sekali gus menjejas usaha hendak mencapai perdamaian yang berkekalan,' tegas Raja Abdullah.
Langkah Israel merampas Baitulmakdis Timur tidak diiktiraf masayarakat antarabangsa.
 Namun Israel menganggap seluruh Baitulmakdis sebagai 'ibu negaranya yang berkekalan.
Pemimpin Palestin pula mahu menjadikan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kota sebuah negara Palestin yang merdeka.Langkah Israel membina petempatan Yahudi di Baitulmakdis Timur mencetus kemarahan Palestin.
Mereka menuduh pihak perbandaran yang dikuasai Israel tidak memberi mereka permit untuk membina rumah baru atau meluaskan rumah yang sedia ada.
Raja Abdullah memuji EU kerana sokongan mereka terhadap huraian dua negara bagi m.enamatkan konflik Israel-Palestin.
Beliau berkata Jordan berharap dapat 'bekerjasama rapat dengan Sepanyol bagi mencapai matlamat itu apabila ia mengambil alih jawatan sebagai presiden EU pada Januari tahun depan.
Encik Zapatero Khamis lalu menggesa Israel agar membekukan pembinaan petempatan Yahudi di Tebing Barat dan melancar semula proses damai Timur Tengah.
'Pembekuan dan pemberhentian pembinaan merupakan isu yang asas. Meskipun menghadapi kesukaran, kami mahu melihat ia berlaku, supaya kami boleh teruskan rundingan,' tegas Encik Zapatero. -- Agensi
Follow Us :

About Ambar Syahputra Siregar

    Blogger Comment
    Facebook Comment